Archive: December, 2008

PruBSN rancang buka tujuh cawangan baru tahun depan

No comments December 30th, 2008

PRUDENTIAL BSN Takaful Bhd (PruBSN) merancang menubuhkan tujuh cawangan baru tahun depan bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran takaful di negara ini.

Ketua Eksekutifnya, Mohamad Salihuddin Ahmad, berkata dua cawangan pertama yang akan ditempatkan di Shah Alam dan Johor Bahru, dijadualkan memulakan operasi dalam suku pertama tahun depan.

“Lima cawangan lagi akan juga ditempatkan di ibu negeri. Penubuhan setiap cawangan baru ini membabitkan kos kira-kira RM1 juta,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Mohamad Salihuddin berkata, PruBSN yang ditubuhkan pada 2006 ketika ini mempunyai tiga pusat operasi di Kuala Lumpur iaitu hab perkhidmatan berkongsi di Menara Yayasan Tun Razak, pusat pemasaran dan pentadbiran di Wangsa Maju dan ibu pejabatnya di Menara Prudential, Jalan Sultan Ismail.

PruBSN yang adalah usaha sama 51:49 antara Bank Simpanan Nasional Bhd dan Prudential sehingga ini mengumpul caruman baru dan tetap berjumlah RM340 juta.

Kira-kira 95 peratus produknya adalah dari segmen keluarga.

Walaupun baru menceburi perniagaan takaful dua tahun lalu, syarikat itu menguasai 35 agihan pasaran dari segi pertumbuhan perniagaan baru.

Mohamad Salihuddin mengaitkan pertumbuhan itu kepada pelbagai faktor, termasuk kakitangan dan ejennya yang dinamis.

“Kami berkembang dengan amat pesat. Daripada hanya 20 kakitangan, syarikat ini kini mempunyai 200 kakitangan dan kira-kira 9,000 ejen,” katanya.

Daripada keseluruhan tenaga agensinya pada masa ini, 70 peratus adalah bukan Islam dan ia mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat serta semakin pentingnya perniagaan takaful.

Pemegang polisi PruBSN berjumlah 190,000, dan daripada jumlah itu 34 peratus adalah daripada bukan Islam.

Mohamad Salihuddin berkata, syarikat itu mahu mencetuskan kesedaran di kalangan orang ramai bahawa takaful bukan hanya untuk umat Islam.

“Ia untuk semua. Takaful adalah satu sistem dan tiada kaitan dengan anutan agama,” tegasnya.

Katanya, pasaran takaful di Malaysia belum diterokai kerana kadar penembusannya hanya lapan peratus berbanding 40 peratus bagi produk insurans konvensional.

Mohamad Salihuddin berkata, syarikat itu juga merancang memperkenalkan satu produk baru iaitu PruBSN ASAS pada suku pertama tahun depan.

PruBSN, katanya, akan terus memberikan tumpuan kepada segmen takaful keluarga berikutan kejayaan produk Takafulink yang menyediakan perlindungan dengan pautan kepada tiga dana, iaitu dana ekuiti, dana terurus dan dana bon.

PruBSN adalah pengusaha takaful pertama menawarkan kad perubatan kepada pelanggan.

Salam Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009!

No comments December 28th, 2008

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2009.  Semoga tahun baru dan hari-hari yang mendatang memnjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat. Kita akan melangkah ke tahun baru dengan penuh harapan. Saya doakan semoga semua azam kita pada tahun lepas telah terlaksana. Sekarang kita melangkah ke tahun baru dengan azam baru. Marilah kita bersama-sama membina kehidupan yang lebih bermakna untuk diri kita, keluarga dan orang yang tersayang.